Advertising

Thursday, August 16, 2012

Dunia, Malaysia, Islam & Fatwa

 

 
NONEMinggu lalu saya membaca ulasan Profesor Tariq Ramadhan, cucu kepada pengasas gerakan Ikhwan Muslimin (Persaudaraan Umat Islam) Hassan Al Bana di Mesir. Baru-baru ini, Tariq telah hadir melawat Malaysia.

Dalam tulisan berjudul, "Being Muslim in the age of Globalisation" terbit di Gulf News, pada 6 Ogos yang lalu, beliau menekankan kepentingan umat Islam untuk membebaskan diri daripada mentaliti mangsa serta berusaha melobi bagi merubah salah tanggapan terhadap Islam dengan menggunakan perkakas alatan moden bagi memperjelas, mendidik dan melibatkan diri dengan dialog.

Ia tentunya suatu saranan yang wajar waras dan memberi pencerahan baru, penyuluh yang menerangi kegelapan terhadap nasib yang menimpa umat Islam, khususnya dan lebih penting umat manusia keseluruhannya.

Cahaya yang terhasil daripada ledakan api ataupun letupan kemusnahan daripada dunia Islam yang tersudut atau disudutkan sebelum dan selepas peristiwa serangan 11 September di Amerika Syarikat.

Islam dalam wacana media antarabangsa Barat telah menjadi sama seperti komunisme di era perang dingin yang lalu. Islam yang kaya dengan ragam amalan budaya dan keilmuannya, dalam sejarahnya yang rumit juga, telah dikotakkan dalam bingkai ideologi sempit.

september 11 2001 wtc attack 911Kenyataannya hari ini, di mana-mana pun juga di dunia, umat Islam memang menjadi mangsa. Di Palestin, Rohingya di Burma, di Kashmir, di Pattani, di Iraq, di Afghanistan.

Ia sepertimana yang didongengkan oleh para penulis seperti Samuel P Huntington dalam The Clash of Civilization.

Di sini ideologi bukanlah tidak menyelidiki masalah yang nyata ada. Ideologi menumpukan terhadap masalah yang benar-benar wujud tetapi ideologi memitoskan kenyataan tersebut menjadi dogma tunggal keyakinan.

Sebagaimana Islam - yang ditanggapi sebagai ideologi - cepat mensejagat dalam apa yang disebut sebagai "lambakan globalisasi maklumat" yang di pacu kepantasan teknologi dan kecepatan pergerakan, atau lebih tepat lagi pergerakan modal kapitalisme.

Kemudiannya di banyak bahagian dunia Islam, di timur tengah sedang berlaku perubahan politik yang memberi pengaruh besar terhadap dunia hari ini. Ini kerana timbul aliran baru yang memecahkan dogma pertembungan tamadun Islam-Barat, apabila bangun gerakan pendemokrasian di dunia Islam.

Di sisi ini, kita dapat melihat nasib umat Islam yang dimangsakan oleh elit pemerintah Islam itu sendiri, seperti di Mesir, Tunisia, Bahrain dan bahkan di Malaysia juga dulu dan kini.

Terjerat dalam selirat Internet
Persoalannya, bagaimana untuk menyeimbangkan yang lokal dan global lantas menjadi glokal di sebalik latar permasalahan ini? Lucu kedengarannya. Apatah lagi di saat sebahagian besar umat manusia di Malaysia menginginkan perubahan pemerintahan dan reformasi politik.

Misalannya bagaimana sikap umat Islam terhadap demokrasi dan hak asasi manusia, khususnya hak-hak minoriti. Kerana umat Islam di Malaysia, sebagai majoriti dapat menikmati hak-hak asasinya, seperti hak untuk mengerjakan ibadat serta tuntutan-tuntutan keagamaan.

Bagaimana pula layanan, dasar dan perundangan kita terhadap umat manusia minoriti di Malaysia pula, yang mana umat Islam menjadi majoritinya pula?

earthUmat Islam di Malaysia atas pengaruh globalisasi maklumat terpaksa atau perlu ambil tahu akan permasalahan umat-umat Islam di belahan dunia lainnya.

Di Xinjiang, umat Islam minoriti Uighur tidak dapat menunaikan ibadah puasa, rukun Islam ketiga atas larangan pihak berkuasa Parti Komunis China.

Manakala, di Thailand dan Burma pula melibatkan umat Islam minoriti di negara majoriti penganut ajaran Buddha. Di Filipina, majoriti penganut Katolik dan minoriti Islam di Mindanoa, Selatan Filipina.

Sebenarnya di dalam setiap permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam hari ini, ia sering berbalik kepada sistem pemerintahan, agihan kekayaan, kekuasaan negara tempat mereka bermaustatin, berbudaya dan berkehidupan.

Benar, kita mahukan dunia setempat yang lebih mensejagat. Kita mahukan cahaya matahari dan udara bersih segar masuk ke dalam rumah kita yang gelap. Bermakna kita perlu membuka pintu dan tingkap.

Yang penting kita perlu bersedia, kerana di luar sana terbentang dunia terbuka yang cukup luas dengan segala buruk dan baiknya.

Pada era globalisasi ini, kita semakin jauh meninggalkan politics of disinformation (era maklumat disekat/terhad) dan sedang meniti politics of misinformation (era lambakan maklumat, langit terbuka, pengetahuan tanpa batasan).

Kita di dalam peralihan, barangkali jalan yang belum lagi terbina atau tujuan yang masih jauh. Tetapi di alam maya kita telah terhubung dan bersambung, ada juga yang terjerat dalam selirat laman-laman sesawang di Internet.

Mercu sejarah Mekah dimusnahkan


Kadangkala kita hanya ingin mencari satu jawapan, tetapi carian enjin Google menemukan kita dengan jutaan jawapan terhadap satu pertanyaan.

Beberapa tahun yang lalu kita di kejutkan dengan kontroversi pelakon Rosnah Mat Aris berhubung kenyataannya terhadap isteri Nabi Muhammad SAW, Siti Khadijah.

Pelakon itu bagaimanapun dilaporkan memohon maaf.

Pendapat awam umat Islam Malaysia seperti yang tercermin pada laporan serta perbincangan di dalam media-media tempatan menunjukkan kemarahan yang meluap-luap.

Kini, apakah maklum balas umat Islam Malaysia apabila diuji fikrah pemikiran, keyakinan dan pegangannya, terhadap perkembangan-perkembangan yang berlaku di serata dunia.

al marwa tower part of the abraj al bait towers complex mekah mecca 250209 03Katakanlah apa yang terjadi di Mekah, Arab Saudi. Bulan September tahun 2011, akhbar The Independent, melaporkan mercu tanda bersejarah Islam di kota suci Mekah dimusnahkan bagi memberi laluan pembinaan hotel-hotel gah dan gedung beli-belah mewah. Ia masih tentang Siti Khadijah.

Dalam laporan tersebut, wartawan Jerome Taylor menulis, "The house of the Prophet's first wife Khadijah has been turned into a toilet block."

Manakala makam Khadijah dan datuk Nabi SAW, Shaybah Ibn Hashem Ibn ‘Abd Al-Manaaf di Tanah Perkuburan Al-Ma'ala, juga telah diroboh musnahkan. Pada tahun 1998 dulu, makam ibu Nabi SAW, Aminah binti Wahab juga telah dirobohkan.

Jikalau globalisasi modal menerobos masuk ke kota suci Baitul Maqdis dengan industri persenjataan dan ketenteraannya.

Di Mekah pula, globalisasi modal, kapitalisme dan konsumerisme subur berkembang hasil limpahan rezeki petroleum, lantas bermegah membangunkan kota moden dengan merobohkan warisan sejarah ketamadunan Islam yang amat penting di kota kelahirannya itu.

Bukan pemujaan yang ingin diungkapkan di sini. Tetapi ia sekadar persoalan menguji diri kita sendiri, bagaimana agaknya hendak menjadi umat Islam di Malaysia dan di dunia dalam era globalisasi.

Terutamanya hal bersangkutan pensejagatan modal yang rakus dan dalam masa yang sama cuba menyantuni konsep warisan sejarah silam ketamadunan manusia setempat.

Misalnya Kota A Formosa, di Melaka, meski ia simbol kekuasaan penjajahan Portugis zaman lampau, kita cukup berbangga, melestari dan mengangkatnya sebagai warisan sejarah tanah air dan merupakan salah satu tarikan utama pelancongan negara.

Romantis ideolois berhubung hak asasi

Dalam konteks ini, mampukah umat Islam Malaysia, mengulang sentimen yang bersifat ideologikal dalam nada kemarahan serta kutukan yang sama terhadap pelakon Rosnah Mat Aris, di dalam kes perobohan makam Siti Khadijah serta ratusan tapak-tapak warisan tamadun Islam di Makkah.

Keengganan pemerintah Arab Saudi untuk membolehkan Unesco mengisyhtiharkan tapak-tapak warisan tersebut sebagai tapak warisan dunia, cukup menyedihkan.

Apakah kita benar-benar berupaya untuk keluar daripada kepompong ideologikal dalam mengemukakan sesuatu permasalahan dan mengakui hakikat kewujudan kita - berdiri sama tinggi, duduk sama rendah - atau kerdil, atau jaguh gagah perkasa - di persada antarabangsa, di seluruh jagat raya ini.

Sepertimana yang pernah terungkap dalam gagasan Negara-negara Berkecuali, di Persidangan Afro Afrika, pada suatu lembaran sejarah silam.

NONEAtau benarkah umat Islam Malaysia, lebih kecil lagi orang-orang Melayu - atau orang Umno saja - hanya tertarik dengan isu setempat semata-mata seperti isu DAP kafir harbi atau haram undi DAP?

Pada tahap-tahap tertentu, barangkali saya juga telah jatuh ke tahap romantis ideologis berhubung hak asasi manusia dan demokrasi.

Kerana saya fikir mekanisme hak asasi manusia dan demokrasi, dalam kesemua cacat cela dan kekurangannya, masih tetap dapat kita tanggapi sebagai kunci laluan perhubungan kemasyarakatan- perkakas perundangan dan skema piawaian antarabangsa - alat pertimbangan budaya dan keilmuan masa kini.

Ia agar umat Islam dapat hidup mensejagat, boleh berwujud dan merdeka untuk mengamalkan hak-hak keagamaannya, dalam masa yang sama, turut sama mempertahan, menghormati dan menikmati hak asasi manusia keseluruhannya.

Saya kira hak asasi manusia dan demokrasi dapat menjadi salah suatu jawapan terhadap seruan Tariq Ramadhan:

"Our commitment must be individual, local, national and worldwide. The dynamics that today have made Islam a problem have also transformed it into a question: it is the responsibility of Muslim women and Muslim men to step forward with confident answers."


Agar kita benar-benar menjadi warga setempat dan warga alam semesta (kosmopolitan) yang bermartabat. Maaf Zahir Batin. Selamat Hari Raya.



RAHMAT HARON adalah seorang penyair, penulis dan seniman antara disiplin sepenuh masa. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment