• Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad menyampaikan ucapan penggulungan pada Majlis Pelancaran Projek Usahasama dan Seminar Membanteras Penularan Syiah di negeri ini di Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Alor Setar hari ini. - Foto Bernama  
  • Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad menyampaikan ucapan penggulungan pada Majlis Pelancaran Projek Usahasama dan Seminar Membanteras Penularan Syiah di negeri ini di Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Alor Setar hari ini. - Foto Bernama
ALOR SETAR - Enakmen anti-Syiah yang diluluskan oleh kerajaan negeri Kedah sebelum ini akan dikemas kini bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap pengikut dan penyebar fahaman Syiah.
  
Mufti Kedah Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, enakmen sedia ada terlalu umum sehingga menyebabkan penguat kuasa Majlis Agama Islam negeri Kedah (Maik) gagal melaksanakan penguatkuasaan terhadap pengikut fahaman itu.
  
"Enakmen yang sedia ada longgar dan menyebabkan pengikut dan penyebar fahaman Syiah boleh terlepas daripada tindakan undang-undang," katanya kepada pemberita ketika hadir pada majlis pelancaran Projek Usahasama dan Seminar Membanteras Penularan Syiah di Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di sini hari ini.
  
Beliau berkata, penasihat Undang-undang Syariah negeri dan Maik turut mendapatkan pandangan daripada negeri Selangor, Perak dan Pulau Pinang sebagai rujukan bagi memperkemaskan lagi enakmen itu.
  
Syeikh Baderudin juga berkata pengikut Syiah akan berkumpul di lapan tempat yang dikenali sebagai Hauzah (sekolah) termasuk di Sungai Petani, Alor Setar, Jitra dan Pendang.

Sementara itu di majlis yang sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata bahaya fahaman Syiah perlu didedahkan kepada pelajar sejak di bangku sekolah.
  
Katanya, terdapat laporan bahawa segelintir guru sekolah menyebarkan fahaman itu menerusi pembelajaran tanpa disedari oleh orang lain dan menjadi ikutan pelajar.
  
"Saya terima maklumat ada guru tabika yang sebarkan fahaman Syiah kepada pelajarnya dan ini amat membimbangkan, katanya.
  
Tajul Urus berkata bagi membendung masalah itu pihak Kuin telah mengambil inisiatif dengan mengedarkan 2,000 buku kepada pelajar sekolah serta masjid dan berharap mereka memperoleh maklumat yang tepat mengenai Syiah.  - Bernama