Advertising

Monday, June 2, 2014

Pegawai JAKIM sedia makan coklat Cadbury untuk buktikan halal




Bagi membuktikan status halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terhadap coklat Cadbury benar-benar meyakinkan, pegawai jabatan itu sedia pada bila-bila masa untuk membuat demonstrasi memakan coklat tersebut.

Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal JAKIM, Mohd Amri Abdullah berkata pihaknya berpegang kepada keputusan yang telah mereka keluarkan dan tidak ada masalah untuk pihaknya membuktikan kepada orang ramai bahawa coklat Cadbury adalah halal.



Mohd Amri berkata, proses memberikan status halal kepada sesuatu produk dibuat setelah prosedur dan standard yang ditetapkan ditepati.

"Sebagaimana yang disebutkan bahawa status Cadbury yang diputuskan adalah halal. Kalau diminta kami makan coklat Cadbury kami yakin bahawa apa yang diberikan status pensijilan itu adalah halal sepenuhnya.

"Dalam hal ini, ia memerlukan keyakinan yang begitu utuh, yang begitu kuat untuk menentukan konsep halal.

"Kalau di pihak pengguna jika adanya was-was, adanya keraguan yang melampau, lebih baik tinggalkan," katanya ketika kepada Astro AWANI menerusi AWANI745 malam tadi.

Mohd Amri berkata keputusan yang dibuat oleh Jakim terhadap coklat Cadbury itu adalah sama dengan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kimia.

Katanya, ini bermakna JAKIM membuat keputusan berdasarkan apa yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kimia dan prosedur lain yang perlu dipatuhi.

"Untuk keputusan pensijilan halal ini, pihak JAKIM hanya menggunakan makmal jabatan kimia yang dibenarkan sahaja.

"Standard dan prosedur yang JAKIM gunakan untuk memberikan pensijilan halal ini adalah sama dengan apa yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.

Beliau juga menafikan keputusan yang dibuat JAKIM pada Isnin merupakan satu tindakan membuat pusingan U sepertimana yang didakwa sesetengah pihak.

Selain itu Mohd Amri masyarakat juga perlu faham bahawa semua perkara berkaitan pensijilan halal perlu dirujuk kepada JAKIM iaitu pihak yang diberi kuasa dalam bidang itu.

"JAKIM diibaratkan sebagai imam, pengguna adalah sebagai makmum, perlu mengikut apa yang ditentukan JAKIM dalam soal halal atau haram ini."

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan adanya DNA babi (porcine) dalam dua produk coklat susu Cadbury Dairy Milk.

Hasil siasatan oleh KKM mendapati tiga (3) sampel coklat Cadbury telah diambil untuk analisis DNA babi (porcine) bagi tujuan pemantauan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada Isnin bagaimanapun mengumumkan tiada DNA babi dikesan dalam dua produk coklat Cadbury berkenaan. Pengumuman dibuat selepas ujian dijalankan oleh Jabatan Kimia ke atas sampel yang diambil dari kilang.

Namun pengumuman yang dibuat oleh Jamil Khir itu masih menimbulkan was-was di kalangan pengguna berkenaan status coklat Cadbury.

ASTRO AWANI

Raja Azmi Baru Bertudung: Berhijab Sehingga Memakai Kain Kapan.



Raja Azmi kini bertudung. Wajah terbaharu Raja Azmi yang 
muncul dalam rancangan h live! pada Ahad.
 
HALAMAN HIBURAN
'WANITA tidak bertudung akan masuk neraka'.  Dakwaan ini yang produser kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman 55, persoalkan. 'Keceluparan' menentang pendapat ini, akhirnya menjadi antara punca dia terbuka hati untuk berhijab. Al-hamdulillah.

Begini ceritanya.. 
 
Raja Azmi menimbulkan kontroversi apabila dia mempersoalkan pendapat orang yang tidak bertudung akan masuk neraka. Beliau membuat kenyataan berkenaan apabila ditanya  wartawan Galaksi, TV9, adakah dia mahu bertudung selepas kembali mengerjakan umrah pada Februari lalu. 
 
Malah dia juga berkata, orang yang bertudung pula tidak semuanya menjaga adab mereka sebagai muslim sejati. Dia tidak terkesan dengan segala kritikan orang ramai terhadap kenyataannya. Tetapi Raja Azmi berkata selepas membuat kenyataan itu, dia mula terfikir adakah kenyataan yang dibuatnya itu betul atau sebaliknya.

“Semasa saya buat kenyataan itu, saya tiba-tiba terfikir apa yang saya cakap itu betul atau tidak? Dan saya juga membuat sembahyang tahajud tiga hari tiga malam dan akhirnya saya mendapat jawapan serta terbuka hati untuk berhijab,” katanya.

Raja Azmi berkata demikian dalam rancangan hiburan h live! saluran Astro Ria dan Maya HD pada Ahad malam. Produser itu ditemubual oleh pengacara Datuk Aznil Nawawi  dalam program yang disiarkan secara langsung bermula pukul 8.30 malam itu. Ulangan rancangan berkenaan disiarkan menerusi saluran Awani pada pukul 10.30 malam.
 
Dia bersyukur kerana mendapat ‘teguran’ Allah yang akhirnya membuatkan dia mengambil keputusan  bertudung. Langkah menukar  imej kata beliau, adalah sebahagian daripada keinginannya untuk terus beribadah dan juga mahu mengenali Islam itu dengan lebih mendalam.

“Insya-Allah, niat saya untuk berhijab sehingga memakai kain kapan,” katanya.

Tambah Raja Azmi, dia akan berusaha untuk mendekatkan diri dengan Allah terutamanya menjaga waktu solat lima waktu yang sebelum ini tidak dilaksanakan dengan sempurna.

aznil dan raja azmi
Raja Azmi dan Aznil Nawawi
 
Ditanya oleh Aznil bagaimana reaksi keluarganya selepas membuat keputusan itu Raja Azmi berkata, anak-anaknya gembira dengan perubahan berkenaan manakala suaminya Mohd Eddie Ghazali, 45, pula menepuk  bahunya sambil berkata; “I  love you.”

Beliau turut  menambah, keputusan memakai tudung juga memperluaskan rezekinya apabila dia mendapat peluang menghasilkan rekaan tudung yang akan diusahakan bersama rakannya.

Dalam rancangan itu juga Raja Azmi turut memberi nasihat kepada penonton agar mencontohinya untuk berubah kerana perubahan itu akan membuatkan seseorang umat Islam akan mendapat lebih pahala.

“Pakailah hijab kerana bila kita berhijab, kita akan dapat lebih banyak  pahala,” katanya. 

Ustaz Zul Azri Sani Kemalangan

Ustaz Zul Azri Cedera Ringan
 
Terjun Bendang
 
Keadaan Dalam Kereta
 
Kejadian Waktu Pagi Buta Berhampiran Padang Pekan

Ujian Allah swt
 
Perjuangan Menegakan Islam Di Uji
 
InsyaAllah, Allah Gantikan Yang Lebih Baik

Jakim sahkan tiada DNA babi

Cadbury
KUALA LUMPUR 2 Jun - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan dua sampel produk coklat keluaran syarikat Cadbury Confectionary (M) Sdn. Bhd. (Cadbury) yang diambil terus daripada kilang syarikat itu dikesan tidak mengandungi Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi (porcine).
Produk berkenaan adalah coklat susu dengan kacang hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan coklat susu dengan buah badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond).
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom selepas keputusan ujian yang dijalankan terhadap dua sampel coklat berkenaan diterima pagi ini.
"Pada 26 Mei lalu, kita telah menghantar sampel dua coklat yang diambil daripada kilang Cadbury dan terus dihantar ke makmal di Ibu Pejabat Jabatan Kimia di Petaling Jaya. Makmal itu adalah yang telah akreditasikan Jakim untuk menguji DNA babi dan keputusannya adalah tiada DNA babi dikesan dalam dua produk berkenaan dan halal dimakan umat Islam.
"Kedua-dua sampel yang dihantar kepada makmal kimia itu telah diambil dalam kumpulan dan nombor kod sama seperti dianalisa oleh Kementerian Kesihatan sebelum ini yang dikatakan terdapat DNA babi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Penulisan Kelas KAFA (UPKK) dan Penyerahan Surat Tawaran Geran Tahunan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) - Jakim 2014 di Institut Latihan Islam Malaysia di Bangi hari ini.
Sebelum ini, umat Islam di negara ini dikejutkan dengan penemuan DNA babi dalam dua produk Cadbury tersebut apabila Kementerian Kesihatan memaklumkan perkara berkenaan selepas menjalankan ujian terhadap produk berkenaan bagi tujuan pemantauan.
Sementara itu, ketika ditanya mengapa berlaku percanggahan dalam hasil ujian yang dilakukan kedua-dua pihak, Jamil Khir berkata, ada kemungkinan sampel yang diuji makmal Kementerian Kesihatan telah tercemar dari pelbagai sudut.
Beliau tidak menolak kemungkinan makmal kementerian itu juga boleh menemukan DNA babi, namun makmal tersebut tidak diakreditasikan untuk menguji DNA.
"Kita tidak menolak makmal kementerian ada ruang untuk menemukan DNA babi tetapi pengesahan yang sah hanya boleh dikeluarkan melalui makmal di bawah Jakim sahaja dan kita amat hargai usaha Kementerian Kesihatan itu namun sampel yang mereka ambil bukan terus daripada kilang dan mungkin telah berlaku pencemaran sama ada dalam keadaan tidak sengaja atau sebaliknya.
"DNA babi ini sangat mudah untuk tercemar misalnya jika seseorang itu makan daging babi dan bersin pada makanan yang tiada unsur berkenaan, maka makanan itu juga apabila diuji akan terdapat DNA haiwan berkenaan.
"Oleh itu, bagi mengelakkan kekeliruan pada masa depan, pihak lain tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan tentang halal atau tidak sesebuah produk melainkan Jakim yang merupakan jabatan yang ditugaskan berbuat demikian," jelasnya.
Dalam pada itu, Jamil Khir turut menegaskan kerajaan tidak berhasrat menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan isu berkenaan bagi melindungi syarikat Cadbury kerana ia berkaitan soal haram yang merupakan isu sensitif kepada umat Islam.
"Soal haram ini menjadi tanggungjawab dan kewajipan umat Islam untuk menolaknya kerana dosanya terlalu besar untuk kita tanggung dan sebab itu hari ini kita terus maklumkan kepada umum selepas kita menerima keputusan ini pagi tadi.
"Jakim juga telah mewujudkan satu talian bagi membolehkan masyarakat mendapatkan maklumat dengan lebih jelas tentang isu itu memandangkan wujud pelbagai maklumat di media baharu tentang isu ini sehinggakan ada yang mendakwa kod yang bermula dengan 'E' terdapat DNA babi dan sebagainya namun itu adalah tidak benar," katanya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat tentang perkara berkenaan boleh menghubungi di talian 03-8892 5048/8892 5078/8892 5032 dan 8892 5031.

Mufti Kedah: Enakmen anti-Syiah dikemas kini


  • Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad menyampaikan ucapan penggulungan pada Majlis Pelancaran Projek Usahasama dan Seminar Membanteras Penularan Syiah di negeri ini di Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Alor Setar hari ini. - Foto Bernama  
  • Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad menyampaikan ucapan penggulungan pada Majlis Pelancaran Projek Usahasama dan Seminar Membanteras Penularan Syiah di negeri ini di Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Alor Setar hari ini. - Foto Bernama
ALOR SETAR - Enakmen anti-Syiah yang diluluskan oleh kerajaan negeri Kedah sebelum ini akan dikemas kini bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap pengikut dan penyebar fahaman Syiah.
  
Mufti Kedah Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, enakmen sedia ada terlalu umum sehingga menyebabkan penguat kuasa Majlis Agama Islam negeri Kedah (Maik) gagal melaksanakan penguatkuasaan terhadap pengikut fahaman itu.
  
"Enakmen yang sedia ada longgar dan menyebabkan pengikut dan penyebar fahaman Syiah boleh terlepas daripada tindakan undang-undang," katanya kepada pemberita ketika hadir pada majlis pelancaran Projek Usahasama dan Seminar Membanteras Penularan Syiah di Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di sini hari ini.
  
Beliau berkata, penasihat Undang-undang Syariah negeri dan Maik turut mendapatkan pandangan daripada negeri Selangor, Perak dan Pulau Pinang sebagai rujukan bagi memperkemaskan lagi enakmen itu.
  
Syeikh Baderudin juga berkata pengikut Syiah akan berkumpul di lapan tempat yang dikenali sebagai Hauzah (sekolah) termasuk di Sungai Petani, Alor Setar, Jitra dan Pendang.

Sementara itu di majlis yang sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata bahaya fahaman Syiah perlu didedahkan kepada pelajar sejak di bangku sekolah.
  
Katanya, terdapat laporan bahawa segelintir guru sekolah menyebarkan fahaman itu menerusi pembelajaran tanpa disedari oleh orang lain dan menjadi ikutan pelajar.
  
"Saya terima maklumat ada guru tabika yang sebarkan fahaman Syiah kepada pelajarnya dan ini amat membimbangkan, katanya.
  
Tajul Urus berkata bagi membendung masalah itu pihak Kuin telah mengambil inisiatif dengan mengedarkan 2,000 buku kepada pelajar sekolah serta masjid dan berharap mereka memperoleh maklumat yang tepat mengenai Syiah.  - Bernama

Pisang Goreng Keju Semakin Laris


DUA pekerja gerai pisang goreng keju menaburkan keju dan gula perang ke atas pisang goreng ciptaan Izham Ahmad yang semakin menjadi tumpuan di Jalan Gunung Keriang, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini
 
ALOR SETAR 2 Jun - Pelbagai transformasi dibuat oleh pengusaha produk makanan dalam memperkenalkan jenama mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
Tidak kurang hebatnya dengan pisang goreng untuk sajian waktu petang itu telah diolah menjadi pisang goreng keju.
Mungkin bagi yang pertama kali mendengarnya, ia agak pelik namun di Alor Setar pisang goreng keju antara makanan yang menjadi sebutan dalam kalangan penggemar pisang goreng.
Sehinggakan ada pelanggan yang sanggup menunggu lebih dua jam untuk merasai keenakan pisang goreng keju, malah terdapat juga pelanggan yang membuat tempahan menerusi Facebook empat hari lebih awal.
Pengusahanya, Izham Ahmad, 36, berkata, dia terkejut dengan sambutan yang diterima daripada pengunjung sehinggakan mereka terpaksa mengambil tempahan menerusi panggilan telefon kira-kira lima jam sebelum beroperasi.
Katanya, perniagaan yang mula diusahakan dua tahun lalu itu pada mulanya hanyalah menjual pisang goreng sama seperti peniaga lain.
"Masa berniaga pisang goreng dahulu banyak persaingan di kawasan ini, jadi saya fikir perlu lakukan sesuatu untuk memberi kelainan kepada pelanggan.
"Dari situlah kami mula buat pisang goreng coklat, pisang goreng sarung dan pisang goreng rangup namun pisang goreng keju lebih mendapat sambutan berbanding yang lain sebab itulah kami fokuskan kepada satu sahaja," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Bekas chef yang berpengalaman dalam bidang makanan barat dan pastri ini memberitahu, kelainan pada pisang gorengnya adalah menggunakan tepung yang dihasilkan sendiri.
Menurut Izham, tepung segera yang diolah daripada resipi keluarga mertuanya itu merupakan bahan asas yang penting untuk tujuan merangupkan pisang goreng tersebut.
Selain itu katanya, kombinasi gula perang di atas parutan keju memberi rasa yang berbeza berbanding pisang goreng keju yang lain.
"Saya memilih untuk taburkan gula perang di atas parutan keju adalah kerana rasa gula itu yang kurang manis, jadi semua orang boleh makan," katanya.
Satu hari kira-kira 200 set pisang goreng keju yang dijual dengan memperuntukkan 50 hingga 60 sikat pisang.
Katanya, dalam memastikan pisang goreng yang dihasilkan berkualiti, Izham hanya menggunakan satu kuali sahaja.
"Ada pelanggan yang meminta saya tambah bilangan kuali, namun ia bukanlah perkara yang mudah kerana saya mahu pastikan goreng pisang itu tidak hangus di samping menjaga kualiti," katanya.
Katanya, dia amat menghargai pelanggannya yang sanggup menunggu lama untuk membeli pisang goreng keju yang dihasilkan.
"Kami juga berharap agar pelanggan menghubungi kami terlebih dahulu antara pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari untuk membuat pesanan dan mengambil nombor angka giliran," katanya.
Pelanggan kini boleh mendapatkan pisang goreng keju di Jalan Langgar, belakang bangunan UNITAR International University (Unitar) bermula pukul 11 pagi hingga 6 petang dan tutup pada hari Jumaat.
Waktu operasi pisang goreng keju di Jalan Gunung Keriang pula adalah pada pukul 2.30 petang hingga 7 petang dan tutup pada hari Isnin dan Selasa.
Pelanggan yang ingin membuat tempahan untuk membeli pisang goreng keju yang dijual dengan harga RM3 satu set bolehlah menghubungi Izham menerusi 017-607 0533.

Bekas pegawai agama aktif Syiah


Timbalan Yang Dipertua Abim Abdullah Din 
Ustaz Abdullah Din Timbalan Yang Dipertua Angkatan Belia dan Islam Malaysia
ALOR SETAR - Seorang bekas pegawai kanan Jabatan Agama Islam di sebuah negeri dipercayai terbabit dengan kegiatan fahaman Syiah di negeri ini.
Difahamkan, individu yang berumur sekitar 60-an itu juga merupakan orang kuat dalam kumpulan itu.

Timbalan Yang Dipertua Angkatan Belia dan Islam Malaysia (Abim), Abdullah Din berkata, pihaknya memandang serius perkara ini dan berharap perkara itu perlu tindakan lebih tegas daripada pihak berkuasa kerana dibimbangi boleh mempengaruhi umat Islam yang lain.

“Saya berasa sedih dan kecewa dengan perkara ini. Dia adalah seorang individu yang berpengaruh dan pernah dipertanggungjawabkan untuk menjaga kesucian agama Islam.

“Tetapi orang yang kita percaya selama ini, tiba-tiba boleh sertai ajaran itu. Ini tidak seharusnya berlaku terutama kepada individu di Jabatan Agama Islam,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, penglibatan individu terbabit dalam fahaman Syiah adalah satu perkara yang perlu dipandang serius berikutan dia adalah individu yang berpengaruh.

“Saya bimbang jika pihak berkuasa tidak mengambil tindakan tegas, mungkin lebih ramai orang besar dan kenamaan akan sertai fahaman tersebut,” katanya.

Abdullah berkata, individu itu turut kelihatan hadir pada program anjuran Syiah di Alor Berala, Pendang.

“Sebenarnya, dalam ahli keluarganya hanya dia seorang yang sertai Syiah. Isteri dan anak-anak dia adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Tetapi kita bimbang sebab dia sering memaksa ahli keluarganya supaya berdebat mengenai Syiah,” katanya.

Tambahnya, individu itu amat disegani masyarakat kerana pernah memimpin sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di sebuah negeri.