Advertising

Monday, July 9, 2012

Jangan ada hudud Pas atau Umno

              
Wartawan Sinar Harian
8 Julai 2012
Yang Dipertua (YDP) Angkatan Belia Islam Malaysia (Adim) Kedah, Hafiz Mustafa Lubis
Yang Dipertua (YDP) Angkatan Belia Islam Malaysia (Adim) Kedah, Hafiz Mustafa Lubis
ALOR SETAR - Semua pihak diminta berlapang dada berhubung cadangan Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat, yang mencadangkan pelaksanaan undang-undang hudud di Johor, agar tidak wujud situasi hudud ala Pas atau hudud ala Umno.

Yang Dipertua (YDP) Angkatan Belia Islam Malaysia (Adim) Kedah, Hafiz Mustafa Lubis berkata, Abim di negeri ini menyokong penuh cadangan berkenaan dan meletakkan persoalan mengenai keikhlasan pencadangnya itu di tempat kedua.

Menurutnya, cadangan itu amat baik, malah sebaiknya ia tidak hanya dilaksanakan di Johor sahaja sebaliknya di seluruh negara.

“Kita mengharapkan agar isu ini tidak sekadar dijadikan faktor penarik dalam politik sebalik menyeru semua pihak agar berlapang dada dan meninggalkan parti masing-masing jika ingin membincangkan isu hudud secara serius.

“Hudud cuma ada satu, tidak ada ala Umno atau ala Pas. Jika mahu seribu daya namun jika tidak mahu seribu dalih,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, hudud sebenarnya memberi kesejahteraan kepada semua pihak dan bantahan yang diterima ialah daripada golongan masyarakat yang kurang memahami mengenai pelaksanaannya.

“Kerajaan ketika ini mempunyai pelbagai saluran media massa untuk membolehkan mereka memperjelas mengenai undang-undang hudud kepada masyarakat bukan
Islam.

“Dari segi pindaan enakmen negeri, ia boleh dipinda jika mahu. Jangan menggunakan pelbagai alasan untuk mengelak pelaksanaannya.

“Perkara (cadangan) ini baik, patut terima, malah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri menjadi antara individu terawal yang menyatakan persetujuan dan menyokong cadangan itu,” katanya.

Sementara itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah turut menyatakan sokongan terhadap cadangan pelaksanaan undang-undang hudud di Johor.

Pengerusinya, Shamsul Bahar Abd Rani berkata, undang-undang hudud adalah undang-undang ALLAH SWT.

“Ini bererti ia merupakan undang-undang untuk mendidik masyarakat dan sesuai sepanjang zaman,” katanya.

Sunday, July 8, 2012

Abim: Jadikan Hudud Agenda Bersama

  • Muhamad Faisal Abdul Aziz
  • 9:12AM Jul 9 2012
 
ULASAN Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) merujuk kepada kenyataan ADUN Kemelah dari BN, Datuk Ayub Rahmat yang mencadangkan agar kerajaan negeri Johor melaksanakan undang-undang Hudud ke atas orang Islam di negeri berkenaan. Abim amat mengalu-alukan kenyataan tersebut dan berpandangan bahawa ia sebagai satu petanda baik dalam arena politik semasa.

Kenyataan sedemikian secara tidak langsung telah membuka mata seluruh rakyat bahawa agenda untuk melaksanakan hukum Hudud ini bukan agenda yang dimiliki oleh sesuatu golongan sahaja tetapi ia merupakan kewajipan yang digalas oleh seluruh umat Islam.

Dalam pada itu, Abim juga menegaskan bahawa cadangan seperti ini harus disambut baik oleh seluruh pemimpin Islam supaya ia tidak hanya sekadar menjadi polemik dan alat gimik politik untuk keuntungan politik pihak tertentu semata-mata.

Pelaksanaan Hukum Hudud ini melibatkan sistem perundangan negara yang turut menyentuh beberapa perkara dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia memerlukan dokongan kuat dari institusi Parlimen.

Justeru ia memerlukan kehendak politik secara kolektif dan semestinya ia tidak akan berlaku hanya menerusi kenyataan seseorang individu.

Lantaran itu, Abim menyeru seluruh umat Islam tanpa mengira fahaman politik untuk sama-sama tampil mengetengahkan agenda penerangan dan pendidikan berkenaan hukum Hudud ini bersama-sama agar ia benar-benar difahami oleh masyarakat.

Abim yakin melalui pelaksanaan program pendidikan dan penerangan secara sistematik dan jelas berkenaan pelaksanaan hukum hudud, masyarakat akan menerima pandangan lebih jelas  tentang aspek keadilan dan hak asasi manusia yang turut ditekankan dalam pelaksanaan Hudud.

Dalam perkembangan berkaitan, menerusi agenda ini Abim yakin kesepakatan sesama Umat Islam yang telah dipisahkan dengan pelbagai ideologi politik akan tercapai.

MUHAMAD FAISAL ABDUL AZIZ adalah penolong setiausaha agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim)